KENALI PEKDIS


APA ITU PEKDIS?

PEKDIS adalah singkatan bagi Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah Malaysia. Bergerak sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO), ia mula ditubuhkan pada tahun 2005.

Yang Di Pertua PEKDIS yang pertama adalah Yang Berbahagia Tuan Haji Ab. Razak bin Draman, Pengarah, Bahagian Dakwah dan Kepimpinan, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM), KPM. Alamat pertubuhan ini pada ketika itu ialah di Bangunan Bank Pertanian, Leboh Pasar Besar, Kuala Lumpur.


LOGO

LOGO RASMI PEKDIS ini telah direkacipta oleh Ustaz Jalaluddin bin Haji Mispan @ Mislan. Beliau merupakan JOHAN Pertandingan Merekacipta Logo PEKDIS peringkat kebangsaan yang telah dianugerahkan pada 26 Julai 2008 .

KETERANGAN LOGO :
Konsep jarum berjumlah 16 batang mewakili 16 buah negeri dalam Malaysia (termasuk Wilayah Persekutuan Labuah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) yang menjadi ahli dalam pertubuhan ini.

Jarum bersifat tajam menggambarkan setiap pendakwah seharusnya berfikiran tajam, kreatif dan kritis dalam usaha memartabatkan agama Islam dan seolah-olah bercahaya adalah bermaksud usaha berdakwah dapat memberi ‘nur’ keimanan kepada sesiapa sahaja.

Jumlah 3 titik bagi mewakili :
  1. Kementerian Pelajaran Malaysia
  2. Jabatan Pelajaran Negeri / Bahagian dan
  3. Pejabat Pelajaran Daerah di seluruh Negara.

Huruf ‘PA’ membawa maksud singkatan bagi akronim ‘PEKDIS’ (Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah Malaysia) yang juga membawa erti pengurusan pendidikan Islam, pendakwah serta pendidik yang sentiasa berkhidmat di mana saja dalam memberikan bimbingan kepada anak bangsa.

Perkataan ‘PEKDIS’ ditulis dalam tulisan jawi bagi memartabatkan dan melambangkan kecintaan terhadap tulisan warisan bangsa melayu yang tidak akan hilang ditelan zaman dan perkataan ‘PEKDIS’ ditulis dalam tulisan rumi bagi melambangkan Bahasa Malaysia menjadi bahasa rasmi Negara.

Tulisan ‘PERTUBUHAN KEGIATAN DAKWAH ISLAMIAH SEKOLAH-SEKOLAH MALAYSIA’ ditulis dalam dwi tulisan bagi menjelaskan nama Pertubuhan ‘PERTUBUHAN KEGIATAN DAKWAH ISLAMIAH SEKOLAH-SEKOLAH MALAYSIA.’


VISI

Sebuah organisasi yang berwibawa dalam memperjuangkan nasib ahlinya tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai pendidik.


MISI

Memastikan perjuangan dalam semua aspek kebajikan ahlinya dapat disalurkan dengan cara yang  paling berkesan demi keselesaan dan kesejahteraan kepada ahlinya.


MATLAMAT PENUBUHAN


  1. Merapatkan ukhuwah Islamiah antara Guru Pendidikan Islam, meningkat prestasi perkhidmatan dan profesionalisme Guru Pendidikan Islam serta menjaga kebajikan ahlinya. 

  2. Menjalinkan kerjasma dengan Jabatan dan Institusi Pendidikan dan juga dengan badan- badan dakwah dan agensi-agensi lain bagi menjayakan Dasar Pendidikan Kebangsaan. 

  3. Meningkatkan kualiti pengurusan Pendidikan Islam dan Dakwah melalui perkongsian idea dan pengalaman disemua peringkat. 

  4. Mendukung dan mengamalkan prinsip-prinsip falsafah Pendidikan Kebangsaan dan falsafah Pendidikan Islam. 

  5. Membantu pelaksanaan aktiviti dakwah dan ko-kurikulum Pendidikan Islam di sekolah. 

  6. Menerima derma, tajaan dan sumbangan dengan syarat telah mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan atau lain-lain agensi yang berkaitan. 

  7. Merancang dan melaksanakan program dan aktiviti-aktiviti ekonomi yang boleh meningkatkan kewangan dicawangan-cawangan PEKDIS seluruh Negara dengan mendapat kelulusan Mesyuarat Agung terlebih dahulu. 

  8. Merancang dan melaksanakan program dan aktiviti-aktiviti yang memberi perkhidmatan, kebajikan kepada semua ahli dari segi pendidikan, kerjaya dan kesihatan. 

KEAHLIAN PEKDIS

Ahli biasa adalah terbuka kepada: 
  1. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di Institusi-institusi pengajian kerajaan dan bantuan kerajaan.
  2. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berpencen.
  3. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang sedang berkhidmat di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah atau Pejabat Pelajaran Bahagian.